Tuesday, October 22, 2013

Pengalah Pun Tak Ada

Melayu itu banyak tata susilanya. Tuturnya sopan. Tingkahnya santun. Berbahasa tidak secara terus. Sering berlapik dan berkias. Nilai seninya tinggi bila berkarya. Baik seni menghibur mahupun seni membela diri. Lenggok tarian pun begitu. Meliuk lentuk gemalai mengiring alunan irama. Di dalam kelembutan ada kerasnya. Pantang dan larangnya sering dikaitkan dengan nenek dan moyang. Pernah dengar ungkapan yang sedikit kurang lebih berbunyi seperti satu cabaran?

"Pantang tok nenek aku pegang2 kepala ni!"

Bergantung kepada tempoh kenal antara penutur dan pihak yang satu lagi, ayat sebegini mampu menghangatkan lagi suasana tegang ataupun berakhir dengan hilai tawa dan tepuk tampar.

Melayu juga semakin hilang kemelayuannya. Buka telinga dan mata. Perhatikan saja. Orang2 lama masih berpegang kepada adat, kalaupun tak semua. Namun orang baru semakin dekat kepada kemodenan. Yang kadang2 menakutkan.

Orang Melayu tinggi ilmunya baik dari segi kerohanian mahupun yang lain2. Seni bela diri rumpun Melayu terkenal hampir seluruh pelusuk Asia Tenggara. Kehendak dan keperluan menambah ilmu berkait rapat dengan kehidupan. Jika kurang ilmunya, kuranglah pemahaman dan pengetahuan, pincanglah pemikiran.

Satu masa yang tidak berapa lama dulu, ketika kekasih saya di'ambil' oleh suaminya sekarang, saya menjadi sangat berang tetapi takut bertindak tanpa persediaan. Apatah lagi kalau dibandingkan susuk tubuh dan kekuatan fizikal, agak jauh saya ketinggalan. Saya yakin jika disergah, saya yang mengalah.

Dek kerana mengikut nafsu, saya berfikir ketika itu, perlunya mempelajari satu seni silat yang mampu untuk saya gunakan ketika 'memukul' perampas. Ditakdirkan, saya diperkenalkan kepada seni bela diri Silat Cekak. Mengikut sejarahnya, seni mempertahankan diri ini datangnya dari Kedah, negeri kelahiran saya. Huh, keegoan menyucuk2 membisikkan anak Kedah pasti mudah belajar.

Niat belajar tidak lain hanya satu; melepaskan geram dan dendam yang membakar diri dari hari ke sehari.

Alhamdullillah, setelah beberapa bulan belajar akhirnya saya tamat sehinggalah ke peringkat yang melayakkan saya mengunakan uniform persilatan. Seingat saya hanya kami berempat dari hampir 20 orang yang sama2 mula belajar tamat pengajian. Alhamdulillah.

Dan perkara2 berikut telah saya fahami:-
  • Kesemua buah yang diajar di dalam seni ini tidak menyerang sifatnya kecuali satu. Buah yang satu ini, jika menyerang pasti kena. Mengelak kena, tak mengelak lagilah, tentu kena. Saya melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana sahabat 'terbang' terkena buah serang yang menjadi buah terakhir diajar.
  • Sesiapa yang mempelajari seni ini tidak mampu menyerang seseorang yang mempunyai ilmu silat yang sama.
Sabar merupakan perkara yang terpenting dalam seni silat melayu, seiring dengan budaya orang Melayu itu sendiri dan Agama Islam yang merupakan agama lahiriah seseorang yang berbangsa Melayu.

Terlintas di fikiran, mana mungkin saya menyerang perampas jika ilmu persilatan ini mahu kesabaran diletakkan pada tahap teratas. Dan bagaimana pula jika perampas juga ahli persilatan yang sama? Tak mungkin ada pemenangnya, sehingga ke sudah.

Pengalah, pun sama. Tak ada.


No comments: