1.
Tanggal 1 Februari 2017, jam 11.15 malam telah kembali ke rahmatullah, seorang insan yang sangat berjasa kepada anak Kedah. Beliau adalah Cikgu Kassim bin Saad, bekas pengetua Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.
Tanyalah siapa - siapa saja tentang Cikgu Kassim atau lebih dikenali sebagai Pak Kassim, pasti ada sesuatu peristiwa yang berlaku, secara peribadi, antara orang itu dan Pak Kassim. Aku tidak terkecuali.
Pak Kassim seorang guru yang istimewa. Daya memorinya sangat hebat kerana kemampuan beliau mengingati nama dan peristiwa berkaitan setiap anak muridnya. Dan oleh kerana beliau lah aku berada di mana aku berada sekarang. Jika tidak kerana dia, aku mungkin menyumbang kepada statistik sampah masyarakat.
2.
Aku akui, zaman sekolah, bersama teman - teman rapat, kenakalan kami pastinya harus di balas dengan hukuman buang sekolah. Apa tidaknya..
Aku pernah ditangkap menghisap rokok ketika memegang jawatan Pengawas Asrama. Dendanya hanya sekadar dihantar ke asrama yang lebih kecil dan kemudiannya selepas beberapa bulan dihantar kembali ke asrama asal seperti sediakala, tanpa hukuman tambahan.
Aku pernah ditangkap memecah masuk ke pejabat sekolah, bilik pengetua, bilik guru dan kedai koperasi. Beberapa barangan sekolah dan koperasi dijumpai di atas bumbung bilik aku, di asrama. Hukuman? Entahlah, tidak dihukum rasanya.
Aku pernah ditangkap dan dirotan ketika sedang nyenyak tidur di bilik asrama sedangkan orang lain sudah pun ke sekolah.
Entah berapa ramai budak - budak junior yang aku tampar dan buli ketika menjadi pengawas dulu, pun ajaib; sebab terlepas dari sebarang tindakan.
Dan semua ini berlaku ketika arwah ayahanda Cikgu Kassim menjadi pengetua.
3.
Hari ini, aku mengelamun sepanjang perjalanan menuju ke tempat kerja bila terkenangkan saat - saat dulu.
Menitis air mata. Sayu dan sebak.
Dia telah membentuk dan mendidik aku menjadi seorang yang sentiasa melihat sesuatu itu dari sudut yang positif walaupun sesuatu itu adalah jelas perkara - perkara yang negatif. Dia mengajar aku bersabar bila berdepan dengan sesuatu yang buruk sehingga ianya berakhir dengan lebih baik. Dan se'syaitan' mana sekali pun seseorang itu, pasti ada sesuatu yang 'malaikat' tentang nya; cuma masanya belum tiba untuk kita faham dan nampak dengan jelas.
4.
Terimakasih cikgu. Terimakasih dari hati. Terimakasih untuk segala - galanya. Sesungguhnya jasa cikgu tak akan mampu saya imbangkan dengan apa saja yang terlintas di fikiran.
Semoga doa - doa kami akan menemani cikgu bertemu sang Pencipta. Semoga cikgu sentiasa di dalam keberkatan Ilahi sampai bila - bila. Amin.
Tenanglah cikgu di sana.